Ihtifal Al-Funun Al-Islamiah



 LAPORAN

IHTIFAL AL-FUNUN AL-ISLAMIAH 2014

(PROGRAM KESENIAN ISLAM) 

15 Mac 2014

 

Pasir Gudang – Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dengan kerjasama Masjid PIS dan Majlis Perwakilan Pelajar PIS telah menganjurkan Ihtifal Al-Funun Al-Islamiah (Program Kesenian Islam) yang bertemakan “AL-QURAN PENJANA WAHDATUL UMMAH”. Program yang berlangsung seawal jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang ini telah dilaksanakan dengan jayanya di Dewan Serbaguna PIS.

 
Program ini telah dirasmikan oleh Tn Syed Shikh bin Syed A. Kadir, Pengerusi Masjid Politeknik Ibrahim Sultan mewakili Pengarah PIS. Di dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan bahawa PIS berperanan sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah pelajar yang sihat. Oleh itu, PIS telah menyediakan medium seni yang halatujunya tidak lain adalah untuk mempertingkatkan syiar dan dakwah Islamiah. Halatuju tersebut mampu diperlihatkan kepada pelajar agar bentuk dan corak yang terbaik adalah melalui gabungan kekreatifan minda dan seni sebagai pemacu ke arah penggunaan Al-Quran dan sunnah sepanjang hidup. Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Noor Azmi bin Haji Asmawi selaku Ketua Jabatan,  Jabatan Pengajian Am dan Encik Mohd Fazrin bin Hamdan mewakili Jabatan Hal Ehwal Pelajar PIS.
 

Dalam program Al-Funun Al-Islamiah kali ini, sebanyak tujuh acara yang dipertandingkan iaitu pertandingan tilawah al-Quran kategori lelaki, tilawah al-Quran kategori perempuan, hafazan, azan, nasyid, khat dan menulis jawi. Sebelum itu, pertandingan peringkat saringan telah berjaya diadakan pada 11 Mac 2014 yang terdiri daripada pertandingan  azan, khat dan menulis jawi. Pertandingan saringan ini perlu dilaksanakan memandangkan kategori ini telah mendapat penyertaan yang memberangsangkan daripada pelajar-pelajar PIS. 

 
Menyingkap kategori tilawah al-Quran, pihak pertandingan telah menetapkan beberapa surah terpilih untuk dibaca oleh para peserta iaitu Surah Al-Mulk, Surah As-Sajadah dan Surah Al-Jumu’ah. Para peserta dikehendaki memilih salah satu surah daripada tiga surah yang diberi. Acara ini terbahagi kepada dua kategori iaitu lelaki dan perempuan. Bagi kategori lelaki, johan telah disandang oleh Nik Ahmad Farhan bin Nik Anuar dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), kedua Muhammad Hafizuddin Bin Zakaria dari Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV) dan ketiga Mohd Zukhairi Bin Ishak dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE). Kategori perempuan pula, johan telah dianugerahkan kepada Nur Hafizah binti Mohd Puzi, kedua Nur Khairunnisa Aimi binti Yunos dan ketiga Nurul Baiti binti Che Mat Fauzi yang mana ketiga-tiganya adalah dari Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV).

 
Seterusnya, bagi acara hafazan mengkehendaki para pelajar menghafaz tiga surah yang terdiri dari Surah al-A’la, Surah al-Baiyyinah dan Surah as-Syams. Johan bagi acara ini ialah Muhammad Hafizuddin bin Zakaria, naib johan Muhammad Shafie bin Adnan dan tempat ketiga Nurussyifa binti Rosli. Ketiga-tiga peserta tersebut merupakan pelajar di Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV). Berikutnya pula johan bagi pertandingan azan dimenangi oleh Muhammad Syafiq bin Saringat juga dari Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV), kedua Ahmad Zandi Sutrisno bin Japri dari Jabatan Kejuruteraan Elektrikal (JKE) dan ketiga Mohd Syazwan bin Mohd Arfan dari Jabatan Pelancongan & Hospitaliti (JPH).
 

Pertandingan nasyid pula mengkehendaki setiap kumpulan mendendangkan dua buah lagu yang mana lagu pertama adalah lagu wajib dalam kategori selawat manakala lagu yang kedua merupakan nasyid kontemporari. Johan bagi kategori ini dinobatkan kepada kumpulan Sautul Mujahiddin dari Jabatan Pelancongan & Hospitaliti (JPH), naib johan kumpulan iaitu DJK 6A dari Jabatan Kejuruteraan Elektrikal (JKE) dan tempat ketiga disandang oleh kumpulan As-Shahabah dari Jabatan Pelancongan & Hospitaliti (JPH).

 
Proses pertandingan khat pula, pelajar diberi masa selama satu jam untuk menyiapkan tulisan khat masing-masing yang bertulis "Masjid PIS” dan diikuti pula hadis Rasulullah S.A.W. Pemenang tempat pertama bagi kategori ini ialah Nur Atiqah Sofia binti Salleh, tempat kedua pula, Nur Diyana binti Ahmad Termizi dan tempat ketiga disandang oleh Intan Zulika binti Zulkifli.  Ketiga-tiga pelajar ini merupakan pelajar dari Jabatan Rekabentuk & Komunikasi Visual (JRKV). Kategori terakhir pertandingan Al-Funun kali ini adalah pertandingan menulis jawi. Para peserta hendaklah menukar teks Bahasa Melayu yang telah tersedia ke tulisan jawi. Johan bagi kategori ini ialah Siti Norshafiqah binti Saparuddin dari Jabatan Kejuruteraan Elektrikal (JKE), kedua Mohamad Affifuddin bin Nor Effendy dari Jabatan Kejuruteraan Elektrikal (JKE) dan ketiga Nurfarhanah binti Hamdan dari Jabatan Rekabentuk  & Komunikasi Visual (JRKV).

 
Secara keseluruhannya program ini berjaya dilaksanakan sepertimana yang telah dirancang. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Ihtifal Al-Funun Al-Islamiah tahun 2014 ini.

 
 
 














 

No comments:

Post a Comment