MAJLIS TADARUS DAN KHATAM AL-QURAN  1434H/2013M

 
Oleh :
Cik Ummul Hafizah Binti Ali


Tarikh :  26 Julai 2013
Tempat :  Dewan Kuliah Utama, PIS
            Tanggal 26 Julai 2013 yang lalu, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan telah menganjurkan Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran 1434H. Jemputan khas yang turut hadir di dalam majlis tersebut adalah Pn. Hjh Suzanah Binti Hashim, Timbalan Pengarah (Akademik) PIS. Majlis bermula pada jam 2.45 petang hingga 4.30 petang  dengan jayanya.

            Program ini telah dihadiri oleh 32 orang pensyarah Jabatan Pengajian Am, 60 orang pelajar dari setiap jabatan dan 21 orang pelajar sahaja yang terlibat dengan pembacaan khatam al-Quran yang telah diketuai oleh Ustaz Mohd Hamdi Bin Yaacob. Setelah selesai Majlis Khatam al-Quran, majlis diteruskan pula dengan Majlis Tahlil dan doa khatam al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohd Hamdi Bin Yaacob dan Ustaz Mohammad Hamdan Bin Abd. Ghani.

            Seterusnya, majlis diteruskan dengan penyampaian ”Seorang Sekampit Beras ” kepada wakil ABIM yang bekerjasama dengan Puspanita PIS. Kemudian diadakan majlis penyampaian goodies bag serta bunga telur kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan khatam al-Quran oleh Pn. Hjh Suzanah Binti Hashim serta penyampaian cenderahati kepada tetamu khas. Selain itu, tetamu-tetamu yang menghadiri majlis ini juga dibekalkan dengan makanan bagi persediaan berbuka puasa.

            Objektif program ini adalah untuk menghidupkan bulan Ramadhan dengan penghayatan dan pembudayaan bacaan al-Quran serta amalan sedekah kepada pelajar yang memerlukan di Politeknik Ibrahim Sultan. Seterusnya memberi peluang kepada pelajar PIS untuk memperelokkan bacaan al-Quran serta melibatkan diri dalam pengendalian program. Disamping itu, majlis ini juga dapat mewujudkan hubungan silaturahim di antara pensyarah dan pelajar Politeknik sendiri.