Program Khatam al-Quran, 2015

LAPORAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN 2015

Oleh :

Adilah Hafizah Binti Abd Halim



Tarikh :    30 September 2015

Tempat :  Masjid Politeknik Ibrahim Sultan


Tanggal 30 September 2015 yang lepas, Unit Agama, Jabatan Pengajian Am Politeknik Ibrahim Sultan dengan kerjasama Masjid Politeknik serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar  telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran yang bertempat di Masjid Politeknik Ibrahim Sultan. Seramai 400 orang peserta beserta 25 orang urusetia telah terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Antara objektif program ini adalah untuk menghidupkan penghayatan dan pembudayaan bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan. Selain itu, matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar semester satu khususnya dalam memperbaiki bacaan al-Quran. Program seperti ini juga dapat memberi pengalaman kepada pelajar dalam membudayakan bacaan al-Quran    pada setiap minggu dan merasai kemanisannya apabila diamalkan dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam mengendalikan program serta dapat mewujudkan hubungan silaturahim yang baik antara para pensyarah dengan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan.

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ust Mohd Hamdi bersama dengan 39 orang pelajar yang terpilih untuk berada di barisan hadapan. Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim bermula surah Ad-Dhuha berakhir dengan surah Al-Baqarah ayat 1-5 serta bacaan doa khatam oleh Ust Mohd Hamdi.
Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutup oleh pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, En Mohd Hatta bin Zainal. Dalam ucapannya, pengarah menzahirkan ucapan tahniah serta kagum dengan kejayaan keberlangsungan Program Pembudayaan Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran. Program Pembudayaan Al-Quran ini merupakan cetusan idea daripada mantan pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Datuk Dr Arshad bin Kasim. Tuan pengarah juga mengharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada setiap semester.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian saguhati kepada wakil setiap kelas yang terpilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan iaitu bacaan Al-Quran yang baik, akhlak yang baik serta kehadiran penuh ke program Pembudayaan Al-Quran. Selain itu, terdapat juga acara cabutan bertuah yang memeriahkan lagi majlis. Para pelajar kelihatan begitu teruja untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Pihak penganjur khususnya Unit Agama, Jabatan Pengajian Am mengharapkan agar program seumpama ini dapat diterusakan lagi pada masa akan datang. Majlis Khatam Al-Quran tamat pada jam 3.50 petang.











No comments:

Post a Comment