Program Khatam al-Quran, 2015

LAPORAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN 2015

Oleh :

Adilah Hafizah Binti Abd Halim



Tarikh :    30 September 2015

Tempat :  Masjid Politeknik Ibrahim Sultan


Tanggal 30 September 2015 yang lepas, Unit Agama, Jabatan Pengajian Am Politeknik Ibrahim Sultan dengan kerjasama Masjid Politeknik serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar  telah menganjurkan Majlis Khatam Al-Quran yang bertempat di Masjid Politeknik Ibrahim Sultan. Seramai 400 orang peserta beserta 25 orang urusetia telah terlibat dalam menjayakan majlis ini.

Antara objektif program ini adalah untuk menghidupkan penghayatan dan pembudayaan bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan. Selain itu, matlamat program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar semester satu khususnya dalam memperbaiki bacaan al-Quran. Program seperti ini juga dapat memberi pengalaman kepada pelajar dalam membudayakan bacaan al-Quran    pada setiap minggu dan merasai kemanisannya apabila diamalkan dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam mengendalikan program serta dapat mewujudkan hubungan silaturahim yang baik antara para pensyarah dengan pelajar Politeknik Ibrahim Sultan.

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ust Mohd Hamdi bersama dengan 39 orang pelajar yang terpilih untuk berada di barisan hadapan. Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim bermula surah Ad-Dhuha berakhir dengan surah Al-Baqarah ayat 1-5 serta bacaan doa khatam oleh Ust Mohd Hamdi.
Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan perasmian penutup oleh pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, En Mohd Hatta bin Zainal. Dalam ucapannya, pengarah menzahirkan ucapan tahniah serta kagum dengan kejayaan keberlangsungan Program Pembudayaan Al-Quran dan Majlis Khatam Al-Quran. Program Pembudayaan Al-Quran ini merupakan cetusan idea daripada mantan pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Datuk Dr Arshad bin Kasim. Tuan pengarah juga mengharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan pada setiap semester.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian saguhati kepada wakil setiap kelas yang terpilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan iaitu bacaan Al-Quran yang baik, akhlak yang baik serta kehadiran penuh ke program Pembudayaan Al-Quran. Selain itu, terdapat juga acara cabutan bertuah yang memeriahkan lagi majlis. Para pelajar kelihatan begitu teruja untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Pihak penganjur khususnya Unit Agama, Jabatan Pengajian Am mengharapkan agar program seumpama ini dapat diterusakan lagi pada masa akan datang. Majlis Khatam Al-Quran tamat pada jam 3.50 petang.











Pertandingan Video Sehati Sejiwa




        Program ini melibatkan peserta daripada pelajar semester pertama yang mengambil kursus DUB1012 Pengajian Malaysia. Berdasarkan Course Learning Outcome bagi kursus ini adalah dengan melaksanakan program atau aktiviti yang melibatkan kenegaraan ke arah peningkatan patriotisme pelajar.

        Oleh itu, pertandingan ini diadakan sebagai menunjukkan kefahaman pelajar terhadap kenegaraan serta perpaduan melalui video yang dibuat oleh mereka sendiri yang bertemakan sehati sejiwa. Penyampaian hadiah telah diadakan pada 19 September 2015 (Sabtu) di Masjid PIS yang bersempena Majlis Tilawah al-Quran.

        Pertandingan ini terdapat 3 kategori pemenang iaitu johan, naib johan serta tempat ketiga, di mana johan memperolehi sebanyak RM150.00, naib johan RM120.00 dan tempat ketiga RM100.00. Kriteria pemenang bagi video tersebut adalah berdasarkan ketulenan, pengisian/mesej yang disampaikan serta persembahannya.






Majlis Tilawah al-Quran 1436H


Majlis Tilawah Al-Quran,  2015
Tarikh   :  19 September 2015 (Jumaat-Sabtu)
 Tempat  : Masjid Politeknik Ibrahim Sultan

 
           Program ini telah dijalankan bagi membuka peluang dan ruang kepada para pelajar terutamanya pelajar tahun satu bagi mencungkil daya kreativiti dan kemampuan dalam pelbagai aspek serta membentuk modal insan yang cemerlang dari sudut jasmani dan rohani.

Program ini telah dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan pertandingan Tilawah al-Quran bagi kategori lelaki dan perempuan. Setelah tamat pertandingan Tilawah al-Quran, pertandingan Da’ie Muda pula dijalankan dengan seramai 8 orang peserta telah mengambil bahagian. Pertandingan Dai’e Muda ini menyaksikan kepetahan para pelajar dalam menyampaikan mesej-mesej dakwah yang berunsur kerohanian. Kemudian majlis diteruskan dengan pertandingan Inovasi dimana pelajar di berikan peluang untuk menghasilkan satu rekaan inovasi berdasarkan tahap kreativiti mereka. Pertandingan ini diadakan bagi mengasah pemikiran para pelajar terutamanya golongan muda dalam member sumbangan idea dan teknologi kepada kegunaan masyarakat. Pertandingan Inovasi ini dijalankan secara berkumpulan dan hasilnya sangat positif. Para pelajar berjaya  menghasilkan inovasi yang diluar jangkauan pensyarah. Majlis pada hari tersebut telah diakhiri dengan tayangan video Islam yang telah dilakonkan dengan jayanya oleh para pelajar. Video pendek yang berdurasi antara 10-15 minit sememangnya memberi gambaran tentang kehebatan pelajar dalam menghasilkan karya yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Perasmian penutup program ini telah dijalankan dengan jayanya  oleh Tuan Syed Sheikh bin Syed Abdul Kadir. Majlis berakhir pada jam 1.00 petang.

 
 
 
 
 
 
 
 
 


Kursus Pra Perkahwinan


LAPORAN KURSUS PRA PERKAHWINAN

Oleh :

Adilah Hafizah Binti Abd Halim


Tarikh :    11 dan 12 September  2015

 Tempat :  Dewan Kuliah Utama, PIS

Pada 11 dan 12 September 2015 yang lepas, Unit Agama, Jabatan Pengajian Am Politeknik Ibrahim Sultan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Bahagian Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Johor telah menganjurkan kursus pra perkahwinan yang bertempat di Dewan Kuliah Utama, Politeknik Ibrahim Sultan. Seramai 104 orang peserta beserta 8 orang urusetia telah terlibat dalam menjayakan program ini.

Antara objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan awal alam perkahwinan kepada yang ingin berumah tangga serta memberi panduan kepada peserta tentang cara menguruskan proses perkahwinan daripada permohonan pernikahan sehingga ke hari pernikahan. Di samping itu, program ini juga bermatlamat untuk memberi panduan bagi menghadapi konflik di dalam rumah tangga dan cara mengatasi dengan berkesan. Selain itu, kursus ini juga memberi panduan bagi persiapan diri untuk menghadapi alam perkahwinan dan tanggungjawab membentuk sebuah keluarga serta menguruskannya.


Para peserta telah mendapat pengisian yang padat melalui 12 slot sepanjang 2 hari kursus. Tajuk-tajuk yang dibincangkan adalah sangat bertepatan serta relevan dengan keperluan dan kehendak zaman yang serba mencabar ini. Penceramah  program adalah jemputan dari Bahagian Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Johor.


Secara keseluruhannya, para peserta sangat berpuas hati dengan aktiviti program ini di mana ceramah serta pengisian tersebut telah disampaikan oleh penceramah yang arif dalam bidang masing-masing. Para peserta juga mendapat input yang banyak melalui kursus ini serta diberikan sijil pra perkahwinan sebagai persediaan awal sebelum perkahwinan.