KURSUS INTENSIF PENGURUSAN JENAZAH (Teori & Praktikal)

Pelaporan KURSUS INTENSIF PENGURUSAN JENAZAH 
(Teori & Praktikal) 
bagi Skuad Pengurusan Jenazah PIS & Jabatan Pengajian Am
Politeknik Ibrahim Sultan

Disediakan oleh:
Mimi Aineen Binti Abu Mansor

Tarikh :29 April 2018
Hari : Ahad
Masa : 8.00 am hingga 1.30 pm
Tempat : Masjid Politeknik Ibrahim Sultan
Pelaksana : Skuad Pengurusan Jenazah PIS 


Kursus pengurusan jenazah ini, telah dilaksanakan secara intensif meliputi teori dan praktikal. Secara khususnya, penyertaan diwajibkan kepada ahli pelaksana SPJ PIS namun  dibuka kepada staf JPA. Ini adalah kerana kursus ini dilaksanakan secara berdepan agar peserta  mudah faham dan menerima apa yang disampaikan lalu tidak canggung untuk diaplikasi apabila  menguruskan jenazah sebenar kelak.

Seperti yang dimaklumi, objektif kursus ini dilaksanakan adalah untuk memberi  pendedahan dan kefahaman kepada peserta berkaitan teori dan tatacara praktikal pengurusan jenazah mengikut syariat Islam. Ia juga bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta  melakukan sendiri setiap proses pengurusan jenazah. 

Bagi memberi keberkesanan kepada peserta kursus, seorang penceramah yang mahir  lagi berpengalaman telah dijemput bagi mengisi keseluruhan slot kursus ini. Beliau adalah Ustazah Hafsah Binti Ahmad, dari Pusat Rawatan Islam Zahratussyifa, Johor Bahru. Peserta  telah menerima penerangan secara teori bermula dari slot terapi pembersihan hati, sehinggalah teori pengurusan jenazah secara berdepan dengan penceramah. Bagi peserta yang telah mengetahui berkenaan pengurusan jenazah, ia dapat memperkuat dan mendalami pengetahuan yang sedia ada. Manakala bagi peserta yang tidak pernah terlibat dalam pengurusan jenazah atau kurang mendalaminya, kursus ini memberi pendedahan kepada peserta berkenaan. Bagi slot praktikal seperti mandi, memotong kain kafan dan mengkafankan, peserta juga dapat terus bersoal jawab ketika sesi tersebut dilaksanakan. Tentatif yang telah dijalankan adalah:


1. Sarapan Pagi
2. Sesi Terapi Rohani Diri
3. Teori Pengurusan Jenazah
4. Praktikal :
a) Memandikan Jenazah
b) Memotong Kain Kafan
c) Mengkafan Jenazah
5. Tips Pengurusan Jenazah
6. Permasalahan dan Soal Jawab
7. Ucapan Timbalan Pengarah 2 SPJ PIS/ Ketua Jabatan Pengajian Am Puan Norfarahi Binti
    Zulkifli.
8. Penyampaian cenderahati.
9. Makan tengahari dan solat.

Bagi melancarkan kursus, pihak Bahagian Latihan Wanita SPJ menyediakan peralatan yang lengkap agar para peserta mudah memahami dan mengingat, lalu mudah dan cenderung untuk mempraktiknya kelak. Peralatan yang disediakan adalah :

a) Patung (CPR) bersaiz manusia normal.
b) Tempat dan peralatan mandi yang lengkap termasuk kapur barus, sabun, sintuk dan
    lain-lain.
c) Kain kafan yang belum berjahit yang lengkap dengan gunting dan kelengkapan yang
    lain termasuk air mawar, cendana, celak, minyak wangi.
d) Beberapa helai kain sarong, tuala dan berkaitan.

Peserta berpeluang melakukan sendiri pengurusan jenazah bermula menyediakan air bancuhan mandian sehinggalah memandikan. Peserta dapat mengetahui dan mengaplikasi memotong kain kafan sehingga mengkafankan. Untuk memudahkan peserta melaksanakan praktikal pengurusan jenazah ini, patung perubatan (CPR) digunakan. Oleh itu pensyarah lebih mudah mempraktikkan apa yang dipelajari terutama proses menggunting kain kafan dan mengkafankan jenazah.

Ternyata, kursus intensif pengurusan jenazah teori dan praktikal ini telah memberi impak kepada peserta dari segi mendalami dan mempraktik sendiri cara-cara pengurusan jenazah dari awal sehingga akhir. Selain itu, ia juga dapat mewujudkan keyakinan diri kepada peserta dalam perlaksanaan pengurusan jenazah. Justeru, mampu menambah ilmu pengetahuan kepada peserta dan paling utama memupuk rasa berani dan rasa tanggungjawab dalam pengurusan jenazah.



No comments:

Post a Comment